Amalan Pengurusan Risiko Jurulatih dalam Aktiviti Kokurikulum di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Zon Sabah dan Sarawak
Kata kunci:
Aktiviti Ko-kurikulum, Jurulatih, Amalan Pengurusan Risiko, IPGMAbstrak
Aktiviti kokurikulum lazimnya dilaksanakan di luar bilik darjah agar pelajar dapat menikmati aktiviti yang dijalankan dalam suasana yang berbeza dan bersesuaian dengan objektif yang dirancang. Di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), pelaksanaan aktiviti di luar bilik darjah tidak terhad kepada aktiviti kokurikulum seperti persatuan, unit beruniform, sukan dan permainan malah dipanjangkan kepada kurikulum yang mempunyai pentaksiran amali seperti kursus Pendidikan Luar (PL), Bina Insan Guru (BIG) dan sebagainya. Kebanyakan aktiviti yang dirancang di luar bilik darjah terdedah kepada pelbagai risiko. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan pengurusan risiko jurulatih kokurikulum di IPGM Zon Sabah dan Sarawak dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum. Kajian kuantitatif ini menggunakan soal selidik PRAKO yang mempunyai kebolehpercayaan alpha Cronbach (KR-20) 0.96 terhadap 39 jurulatih kokurikulum yang bertugas di Unit Kokurikulum di 8 kampus IPGM Zon Sabah dan Sarawak. Dapatan kajian dianalisis menggunakan perisian SPSS Versi 22 dengan hasil kajian mendapati tahap amalan pengurusan risiko jurulatih pada nilai min 4.68, SP=0.272. Amalan pengurusan risiko jurulatih berdasarkan jantina t(37)=-1.592, p=0.120 (>0.05) menunjukkan perbezaan yang tidak signifikan, namun amalan pengurusan risiko jurulatih berdasarkan lokasi t(37), p= -0.651, (<0.05) menunjukkan perbezaan yang signifikan. Amalan pengurusan risiko jurulatih berdasarkan umur F(2, 36)=42.437, p=0.000 (<0.05) dan amalan pengurusan risiko jurulatih berdasarkan pengalaman F(2, 36)=8.802, p= 0.001, (<0.05) menunjukkan perbezaan yang signifikan. Implikasinya, jurulatih yang dilantik mengendalikan aktiviti kokurikulum adalah kompeten dalam aspek pengetahuan dan kemahiran menguruskan pengurusan risiko aktiviti kokurikulum dengan membuat keputusan mengikut prosedur standard operasi sekaligus mengetahui limitasi setiap program yang dianjurkan.